1.5.14

Ulasan: Komik Misi 10A Finale

Sepanjang 4 tahun 'menconteng', saya ada terima beberapa emel daripada pembaca-pembaca yang juga mempunyai minat melukis dan menulis. Rata-ratanya meminta saya memberi komen tentang hasil karya mereka sendiri. 

Saya bukannya pakar dalam bidang ini jadi jawapan yang saya selalu bagi mungkin nampak agak mudah dan cliche sahaja. Bagi saya, karya komik/buku yang baik adalah karya yang mempunyai kedua-dua elemen ini:

1. Mesej yang baik.
2. Gaya penceritaan menarik.

Nampak mudah tetapi sebenarnya untuk mendapatkan keseimbangan antara kedua-dua elemen ini adalah cabaran besar buat seseorang penulis atau pelukis (termasuklah saya sendiri). Namun, sekali-sekala di dalam ratusan judul buku atau komik di Malaysia, muncul juga sebutir 'permata' yang mempunyai kedua-dua elemen di atas dengan seimbang. 

'Permata' yang muncul kali ini adalah komik 'Misi 10A Finale', hasil kerjasama hebat antara dua orang anak Malaysia berbakat besar, Afiq (pelukis) dan Nazry (penulis).

Beberapa minggu lepas, saya agak bertuah kerana dapat menghubungi penulisnya dan beliau sudi membenarkan saya membuat ulasan komik beliau yang terbaru ini di blog CC.


Komik Misi 10A Finale ini adalah pelengkap kepada siri komik Misi yang terdiri daripada Misi 8A, Misi 10A, dan Misi 10A+. Kesemuanya saya sudah baca. Saya juga ada hadiahkan komik-komik siri Misi ini kepada sepupu-sepupu kecil yang masih bersekolah. 

Apakah plot cerita komik ini? Dipendekkan cerita, siri Misi menceritakan kisah dua watak utama, Aizad dan Zahid yang mahu berjaya dalam peperiksaan-peperiksaan mereka bermula dari PMR dan seterusnya. Dalam komik terbaru ini bagaimanapun, kedua-dua watak ini sudah berpisah dan fokus cerita diberikan kepada Zahid sahaja. 

Kadangkala terasa seperti membaca komik Under 18 tetapi edisi lebih berhemah. He he. 

Pada mulanya, ketiadaan watak Aizad dalam komik kali ini nampak agak janggal bagi saya. Perasaannya seperti menonton satu episod cerita Upin Ipin tanpa watak Upin (atau Ipin). Bagaimanapun, saya rasa penulis dapat mengisi kekosongan itu dengan telatah watak-watak lain yang juga mempunyai karekter dan karenah tersendiri. 


Seperti komik-komik Misi sebelum ini, komik ini terus sarat dengan nasihat yang berguna terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah. Perumpamaan dan falsafah tentang kepentingan institusi sekolah kepada pelajar-pelajar berjaya disampaikan oleh penulis dengan  berkesan dan jelas.

Mungkin ada pula pembaca yang terfikir, "Itulah sekolah Malaysia, pelajarnya hanyalah menghafal dan semuanya exam oriented sahaja."

Ya, dalam komik-komik Misi juga ada berkata tentang pentingnya teknik menghafal dan sudah semestinya juga tentang pentingnya untuk bersedia menghadapai peperiksaan. Namun, saya sarankan pembaca yang ada rasa sangsi supaya baca dahulu dan fahamkan mesej-mesej lain yang cuba disampaikan oleh kedua-dua pengkarya komik ini. Cerita mereka bukanlah semata-mata tentang persediaan menghadapi peperiksaan sahaja.  









Bagaimanapun, satu masalah yang mungkin timbul apabila sesebuah karya itu terlalu sarat dengan nasihat adalah ia akan menjadi agak 'berat' dan mungkin ditolak oleh sebahagian pembaca-pembaca. Bayangkan sekiranya kita paksa seorang pembaca cilik yang hanya pernah membaca komik One PieceNaruto, dan Dragon Ball supaya membaca buku berjudul 1001 Cara Menghadapi Peperiksaan Dengan Lebih Efektif yang setebal 200 muka surat dengan gaya penulisan yang sangat formal dan teknikal. Mungkin pembaca cilik itu hanya bertahan 10 muka surat sahaja sebelum tertidur.

Di sinilah pentingnya 'keseimbangan' yang saya sebutkan tadi. Di sinilah juga kunci kepada kejayaan komik-komik Misi selama ini. Penulis dan pelukisnya berjaya menyelitkan nasihat-nasihat berguna dan pada masa yang sama  membariskan watak-watak, stail lukisan, dan jalan cerita yang menarik dan mudah dihadam oleh pembaca. 

Apabila melihat panel ini, teringat sekolah lama saya, MRSM Mersing. 
Kepada yang sudah biasa membaca manga pula, akan terasa 'feel' yang sama apabila membaca komik-komik Misi ini. Kalau tidak silap saya, komik-komik Misi ini pernah juga dikritik kerana lukisannya bukan Malaysian style. Pada pendapat saya, stail lukisan bukanlah segalanya. Tidak semestinya lukisan yang Malaysian style perlu hidung tiga lekuk dan giginya jongang sahaja, tetapi apa yang lebih penting adalah mesej dan cerita yang ingin disampaikan melalui sesebuah karya itu. Tolak ketepi dahulu isu stail. 

Pada pendapat saya, lebih banyak komik-komik yang menarik dan bersifat positif seperti ini perlu dihasilkan. Di masa akan datang, mungkin ia akan membentuk jatidiri dan seterusnya menjadi brand industri kartun Malaysia. Saya akan lebih berbangga sekiranya di masa hadapan, apabila seseorang dari dari luar negara berkata tentang kartun-kartun di Malaysia, mereka kata karya kita memang sangat positif, menarik, dan bukannya hiburan kosong semata-mata (satu contoh yang baik adalah rancangan Upin Ipin). Namun, sudah semestinya keseimbangannya perlulah 'mengena' untuk terus menarik perhatian pembaca. 
Peragut ada soalan bocor peperiksanan? Hmm...
Walaupun gaya penceritaan dan mesej yang disampaikan komik ini memang menarik, ada juga beberapa adegan yang membuatkan saya sedikit tertanya-tanya. Contohnya dalam panel di atas, Zahid dan rakan-rakannya menangkap seorang peragut. Kemudian peragut itu mahu memberikan soalan bocor kepada mereka sekiranya mereka melepaskannya.

Mungkin set up untuk adegan ini agak kurang dimainkan. Mungkin semasa peringkat awal cerita, boleh diceritakan tentang masalah kecurian di sekolah di mana watak peragut ini mencuri kertas-kertas peperiksaan pada awal komik. Ia juga boleh menjadi  arch besar untuk cerita ini. 

Semasa membaca panel-panel berkenaan adegan mengejar peragut ini, saya merasakan seperti penulis mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh watak utama Aizad. Mesejnya ada iaitu untuk menunjukkan bahawa Zahid dan rakan-rakannya tidak termakan dengan tawaran peragut itu dan mengambil jalan mudah dalam mengejar misi utama mereka. 

Menuju dewan peperiksaan seperti hendak berperang!
Satu perkara yang saya suka di dalam komik ini dan komik-komik sebelumnya adalah penulis dan pelukisnya menggambarkan misi mengambil peperiksaan itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan  'cool'. Walapun realitinya di sekolah atau universiti, apabila kita menduduki sesebuah peperiksaan, suasananya sunyi dan tidaklah sedramatik begini. Namun, saya rasa apa yang cuba disampaikan oleh penulis adalah betapa pentingnya semangat dalam diri kita apabila kita mahu menjayakan sesuatu misi, tidak kira apa bidang yang kita ceburi, di sekolah ataupun di luar. Saya rasa itulah nasihat yang paling besar yang cuba disampaikan oleh siri komik Misi ini. 

Akhir kata, komik ini sangat sesuai untuk pembaca-pembaca yang masih bersekolah untuk menaikkan semangat dan memahami sebab mereka perlu pergi ke sekolah setiap hari. Ingat sekolah, ingat MISI!

Nota 1: Komik ini sudah pun habis dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014. Jangan risau, anda boleh dapatkannya secara online di sini dengan harga promosi.

Nota 2: Terima kasih kepada penulis komik ini, tuan Nazry yang memberikan kebenaran kepada saya menggunakan sebahagian ilustrasi bagi tujuan ulasan ini. 

Nota 3: Ini adalah entri blog ulasan pertama untuk siri baru, Ulasan di mana saya akan memberikan sedikit ulasan terhadap buku/komik Malaysia yang saya sudah baca dan rasakan perlu dikongsi. Berminat untuk karya anda diulas? Emel saya di contengconteng@yahoo.com