7.5.13

'Pangkah' Malaysia


Jimi, Jason, dan Ganesh di dalam Buku Conteng: Jimi dan Kertas Ajaib.

Tahun ini adalah tahun yang sangat istimewa untuk saya. Selain bergelar bapa, tahun ini juga kali pertama saya keluar mengundi. Semasa 2008 dulu saya masih belajar di US jadi tak berkesempatan nak merasa memangkah parti politik pilihan.

Hmm.. 'Politik'... menyebut perkataannya pun sudah agak stigma bagi sesetengah orang. Hakikatnya, hala tuju dan masa depan sesebuah negara bergantung kepada kestabilan politik dan ekonominya. Mahu tidak mahu, kita perlu juga buat pilihan dan bersedia menerima baik dan buruk pilihan kita. Pilihanraya tahun ini juga agak istimewa kerana dikatakan 80% pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka. 80% itu sangat besar jumlahnya (sumber: SPR, Malaysiakini, Utusan).

Terus kepada isi. Saya cuma hendak berkongsi satu trend negatif yang saya lihat di facebook sepanjang minggu yang sangat mendebarkan ini. Apabila melihat penyebaran maklumat tanpa bendung di facebook, saya teringat kes patent infringement yang melibatkan syarikat gergasi Samsung dan Apple. Samsung kalah kepada Apple dan dikatakan telah menghantar 1 bilion duit syiling kepada Apple sebagai tanda protes. Berita ini tersebar luas di facebook tidak lama dulu.

Sumber: 9GAG
Entah berapa ramai yang sehingga kini masih percaya dengan berita ini. Meme yang dicipta secara suka-suka  tiba-tiba bertukar menjadi fakta bagi sejumlah orang. Apa kena mengena Samsung dengan pilihanraya? Tiada. Cuma point saya, betapa mudahnya berita di laman sosial tersebar, tidak kira benar atau tidak, sahih atau tidak sumbernya. Berhati-hatilah, jangan telan bulat-bulat. Di dalam suasana yang tegang, bertambah deraslah tiupan angin spekulasi dan provokasi murahan daripada pihak tertentu. Boleh jadi pitam apabila membaca ruangan komen yang penuh dengan kata-kata kesat, cacian dan makian.

Hakikatnya, dalam menilai hal yang sensitif seperti fahaman politik (dan hal-hal yang lain), setiap orang ada kayu pengukurnya. Bagaimana kita membuat kesimpulan dan keputusan dalam semua hal, adalah bergantung kepada kriteria-kriteria yang kita sudah tetapkan. Tiada siapa boleh halang kita. Itu hak kita. Cuma juga tidak bermakna semua orang yang tidak 'sekepala' dengan kita adalah salah dan lebih rendah daripada kita. Matlamat kita sama. Kita mahu terbaik untuk Malaysia.

Saya bukannya pengundi atas pagar. Parti pilihan saya juga kalah di kawasan saya. Saya terima keputusannya dan tidak mahu fikirkannya lagi kerana ada perkara lain yang lebih penting untuk saya risaukan sekarang. Sekarang masa untuk saya fokus semula dengan tanggungjawab saya seharian. Hidup diteruskan. Sampai masa pilihanraya seterusnya, panjang umur, saya pangkah lagi demi Malaysia tercinta.