13.6.12

Apakah Cita-cita Kamu?


Semasa di sekolah dahulu, aku pernah digelakkan kerana cita-cita aku sedikit berbeza daripada kawan-kawan yang lain. Aku mahu jadi seorang pelukis. Aku suka melihat artis-artis jalanan duduk tenang di hadapan kanvas putih. Setiap hari mereka bermain dengan garisan dan warna, sambil bebas melukis kehidupan di sekeliling mereka.

Sekarang, sudah lebih 7 tahun aku berada di dalam bidang sains. Aku juga suka bidang ini kerana ia masih perlukan kreativiti, sama seperti bidang seni, cuma bezanya aku tidak bermain dengan mikroskop semenjak kecil.

Melukis pula adalah hobi aku semenjak aku belajar memegang pensel. Aku mahu ia kekal sebagai hobi sampailah bila-bila. Mungkin dengan cara itu, aku takkan pernah hilang rasa seronok melukis. Mungkin dengan cara itu, aku dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada dua dunia yang sangat berbeza, tetapi sama pelik dan menyeronokkan.