22.5.12

Komik-M


Saya membesar dengan membaca komik-komik tempatan seperti Ujang dan Gempak (selain manga Jepun dan komik adiwira dari Hong Kong).

Ujang isu#1
Siapa tidak kenal dengan watak Abe, Kartini, dan Mat Despatch? Oh ya, juga watak Din Beramboi? Perlukah diperkenalkan lagi? 'Lawak antarabangsa' majalah Ujang memang meninggalkan kesan yang besar kepada budak-budak sezaman dengan saya.

Den memang suko Ujang. Har Har Harun Salim Bachik! Pernah gelak macam ni? Kalau pernah, kita geng. 

Gempak isu#1
Pada tahun 1998, muncul pula komik Gempak. Saya ada kenangan manis dengan komik Gempak. Saya berpeluang baca isu pertama majalah Gempak seminggu sebelum ia muncul di kedai-kedai buku. Kawan saya yang perkenalkan. Katanya, ayah dia dapat terus dari gudang. Saya menyesal tak simpan isu pertama majalah Gempak itu. Menyesal. =(

Baiklah, bagaimana pula dengan Komik-M? Kenapa tajuk entri ini "Komik-M"?

Salah satu komik terbitan Komik-M, "Super Safee" karya Froggypapa
Komik-M adalah gerakan baru komik tanah air. Saya kata 'baru' kerana mereka muncul pada tahun 2008. Masih muda berbanding Gempak dan Ujang yang sudah lebih 10 tahun bertapak di Malaysia. Salah satu identiti Komik-M adalah penggunaan Bahasa Malaysia yang betul di dalam komik-komik yang mereka terbitkan. Maksudnya, sekiranya ayat-ayat di dalam komik mereka digunakan dalam peperiksaan Bahasa Malaysia, bolehlah dapat A+. Manakala sekiranya anda pakai ayat di dalam blog conteng2, anda mungkin dapat D+.

Antara komik-komik lain terbitan Komik-M
Walaupun baru, tetapi komik-komik terbitan komik-M sudah mula menambat hati pembaca- pembaca Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan untuk hasil-hasil kerja anak tempatan yang bermutu. Bukan itu sahaja, Komik-M juga baru sahaja memenangi anugerah Penerbit Komik Terbaik di Anugerah Pekomik 2012 tempohari.

Akhir sekali, ada satu berita baik. Selepas dua buah buku conteng Jimi saya diterbitkan, saya mendapat tawaran daripada seorang editor Komik-M untuk menghantarkan 10 muka surat komik loose untuk siri komik antologi (gabungan beberapa penulis komik) mereka yang terbaru.

Hasil contengan yang saya sudah hantarkan kepada Komik-M
Sekiranya contengan-contengan saya ini diterima, maka dapatlah saya menumpang sebanyak 10 muka surat di dalam komik terbaru mereka nanti. Doakan supaya editor Komik-M yang hensems itu selitkan contengan-contengan saya ini.