31.10.10

"Hoi, Ini.. Wayang Gambar Pusing ka?"



Di dalam jenaka, ada bisanya, dan di dalam sedih, ada pengajarannya. Mempunyai stail yang jauh mendahului zamannya dan penceritaan yang dekat di hati rakyat Malaysia. Begitulah karya karya Tan Sri P. Ramlee yang sangat nostalgik dan kekal sepanjang zaman.

Entah sudah berapa kali kita tonton cerita cerita beliau. Setiap kali kita tonton, sentiasa ada perkara baru yang kita belajar dan buat kita tergelak. Bila kita tonton semasa kecil kita faham lain, kemudian bila dah remaja faham lain, dan bila dah tua nanti pula kita mungkin akan buat interpretasi yang lain. Mungkin disitulah tersimpannya 'genius' karya karya beliau.

Setelah berpuluh tahun, lawaknya masih kelakar dan begitu juga dengan nasihatnya masih relevan. Adegan 'Bahasa Menunjukkan Bangsa' daripada gambar 'Seniman Bujang Lapok' masih melekat dalam kepala otak aku sampailah sekarang:

Sudin: Hoi, ini.. wayang gambar pusing ka?

Bai: (diam..)

Sudin: Ooo lu pun tersampuk ka?

Bai: Nama saja orang Melayu, sikit adab pun tak tau.. Panggil orang hoi, hoi, hoi. Saya ni apa? Batu ke? Kayu ke?

Sudin: Alamak banggali tu bahasakan kita le.

P. Ramlee: Memang betul dia cakap. Engkau tu mana ada bahasa. Panggil orang oi oi oi. Bahasa menunjukkan bangsa tau.

***

Hanya dalam adegan sependek 30 saat, nasihat disampaikan dengan tepat dan melekat. 30 saat yang mungkin kekal untuk 100 tahun akan datang. Begitulah betapa berkesannya sebuah karya yang ikhlas.

Apa pendapat anda pula? Kenapa anda suka cerita cerita P. Ramlee? Kerana loyer buruknya? Kerana ceritanya masuk angin keluar asap? Jom menceceh di ruang komen.