11.8.10

Taiping Tiada Famous Amos?



Kecoh sebentar dunia blogging minggu lepas bila seorang wanita dikatakan telah 'menghina' Johor hanya kerana gagal mencari biskut rangup berjenama 'Famous Amos' di Johor Bahru. Selain liputan di akhbar Sinar Harian, sebuah page berkenaan isu ini di facebook pula sudah melebihi 16,000 pengikutnya. Tiada Famous Amos di Johor Bahru ya?

Bagaimana pula dengan Taiping? Adakah biskut cokelat rangup berinti kacang yang menikam kalbu rasa ini wujud di Taiping? Oleh kerana perasaan ingin tahu dan kesempatan yang ada, aku dan rakan rakan rapat seramai 4 orang telah mengadakan ekspedisi ke Taiping selama 2 hari demi mencari biskut misteri ni sekaligus menjawab persoalan persoalan yang telah menghantui diri beberapa hari ini.

Sehari sebelum ekspedisi biskut ini bermula, aku lontarkan satu soalan di facebook dengan harapan mungkin ada rakan rakan facebook yang boleh memberikan sedikit ilham. Soalannya:

"Bercuti di Taiping di hujung minggu. Taiping ada Famous Amos tak?"

..dan ini pula jawapan dari rakan facebook yang telah menambah kekuriositian (perasaan ingin tahu) aku untuk menyungkil kebenaran dakwaan dakwaan mereka:

"ada la bro! macam macam ada." "jangan risau, of course ada."

Mungkin.

Mungkin biskut ini wujud di sana kata suara kecilku. Maka ekspedisi mencari biskut rangup Famous Amos di Taiping bermula.

9 malam, Sabtu. Zoo Taiping.
Kembara kami bermula di malam hari. Setibanya di Taiping, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib di Zoo Taiping. Mungkinkah biskut Famous Amos dijual di kedai cenderamata di dalam Zoo? Kami bergegas mendapatkan tiket. RM16 harga asal tiket diberi diskaun kepada Rm11 setiap seorang kerana salah seorang rakan kami berasal dari Taiping. Wah, sungguh bertuah.

Setelah beratur begitu panjang sambil mendengar pekikan dan lalakan rombongan budak sekolah rendah selama hampir 40 minit, akhirnya kami berjaya menaiki tren safari malam itu. Katakan saja, zirafah? gajah? unta? semut? semuanya ada di Safari Malam Taiping ini tetapi bukan biskut cokelat yang kami cari.

Gundah terasa di dalam jiwa, kami meninggalkan safari malam untuk menjamu yong tau fuu di deretan kedai melayu beberapa minit dari Zoo Taiping. Manis, sedap, dan berlemak. Tak mengapa, mungkin esok ada rezeki biskut kami.

12 tengahari, Ahad. Taman Tasik.
Destinasi seterusnya adalah Taman Tasik Taiping. Di sinilah lokasi penggambaran filem 'Sepi' arahan Khabir Batia beberapa tahun yang lalu. Apa istimewanya taman ini sehingga perlu difilemkan? Datanglah ke sini dan rasakan sendiri lambaian mesra ‘pokok hujan pukul lima’ membentuk laluan berkanopi di sepanjang jalan.

Redup angin, hijau rumput, dan tenang air sudah boleh menyentuh hati sang penyair, seperti tersentuhnya hujung ranting pokok yang menjalar dengan permukaan air di tasik ini. Terlupa seketika tentang biskut rangup itu.

2 petang, Ahad. Kedai Cendol Ansari.
Pencarian Famous Amos diteruskan di kawasan bandar. Rentetan kedai kedai yang tersusun rapat dihiasi dengan pagar pagar besi dan retakan dinding batu seperti menyimpan seribu satu rahsia sejarah bandar Taiping yang sudah beratus tahun lamanya. Mungkinkah kedai Famous Amos berada di celah celah kota ini?

Kami berhenti seketika di 'Kedai Cendol Ansari' yang hanya seluas sekangkang kera, sekecil tapak kedai menjual surat khabar. RM 1.60 dibelanja untuk semangkuk cendol berserta pulut. Mahu juga aku bertanya kepada pakcik penjual cendol kalau kalau dia ada menjual biskut rangup Famous Amos di dalam menu rojak pasemburnya, namun manis pulut membuatkan aku alpa.

5 petang, Ahad. Warong Mak Teh.
Di sinilah segalanya berakhir. Di sinilah pencarian biskut akhirnya menemui titik noktahnya. Desas desus mengatakan di lokasi inilah tersoroknya hidangan yang paling enak di Taiping. Mungkin ianya biskut yang aku cari? Sayangnya, jawapannya adalah tidak. Hidangan yang dijual adalah mee udang banjir yang berharga RM6 untuk udang 'bela' dan RM12 untuk udang laut. Sudah tentu aku ambil yang RM6. Murah.

Sembilan ekor udang tersusun rapat di dalam kuah yang pekat lagi mengkhayalkan. Kelibat mee tidak kelihatan kecuali bila diselongkar. Tetapi, terbangan lalat dan pekat kotoran longkang di kedai Mak Teh ini mungkin boleh menyekat selera mereka yang pentingkan kebersihan di gerai makanan. Namun, tiada kedai lain yang boleh melawan 9 ekor udang besar dan resipi mantap Mak Teh. Tiada. Aku cakap tiada, tiadalah.

Keputusannya.
Di penghujung ekspedisi, akhirnya aku terpaksa mengakui bahawa persoalan samada biskut Famous Amos ini wujud atau tidak di negeri Taiping, sudah tidak penting lagi. Keindahan, kemesraan, dan ketenangan selama 2 hari ini tak mungkin dapat diganti dengan seribu peket biskut Famous Amos sekalipun. Bertuahlah mereka yang duduk di negeri Taiping.

Namun persoalan tetap persoalan. 'Adakah Famous Amos ada di Taiping?' Itulah soalan yang memulakan segalanya. Berdasarkan kata kata seorang rakan yang berasal dan menetap di Taiping selama 17 tahun, jawapannya adalah TIADA. Mungkin beliau terlepas pandang, mungkin juga beliau betul.

Yang penting, 'famous amos' di Taiping bukanlah biskut, tapi 'famous amos' Taiping adalah taman, galeri galeri sejarah, makanan, dan bangunan bangunan yang menyimpan seribu satu retak kisah dan pengajaran yang berguna untuk kita dan generasi akan datang. Mungkin itulah ‘famous amos’ Taiping yang sebenarnya.