1.8.10

Before We Kick the Bucket..


Entri kali ni adalah respon kepada entri blog seorang kawan MRSM, Nana yang bertajuk 'Bucket'. Jadi Nana, ni sebahagian dari bucket list aku:

1. Naik belon udara panas. (STATUS: Belum berjaya)

Impian aku masa kecik dulu kononnya nak pergi sekolah naik belon udara panas. Namun disebabkan oleh kos yang tinggi, ketiadaan ruang parking yang sesuai, dan kekurangan dari segi kelogikan akal impian ini, aku terpaksa tinggalkannya menjadi angan angan.

2. Buat lagu sendiri dan persembahkannya di khalayak orang. (STATUS: Berjaya) 

Orang kata, kalau kita berani memalukan diri menyanyi/bersajak/menari/berucap di hadapan sekumpulan manusia, maka tak ada apa yang perlu ditakutkan lagi dalam hidup kita. Betul ke? Tak kut.

Walaupun lagu yang aku buat gagal memasuki sebarang carta di radio atau pencalonan Muzik Muzik, namun kepuasannya timbul apabila sebarang idea yang tersekat di dalam otak berjaya diterjemahkan dalam bentuk lagu, tulisan, contengan, dan sebagainya. Sedap ke tak tu lain cerita. Haha.

Nak dengar? Sila sakitkan telinga anda dengan klik di sini dan sini.

3. Jadi perompak bank (STATUS: Belum berjaya)

Ok aku bukan nak jadi perompak bank. Aku cuma terfikir betapa seronoknya kalau kita ada satu kerja/minat sampingan yang langsung tidak ada kena mengena dengan apa yang kita selalu buat hari hari atau selama ini kita belajar.

Contohnya, bayangkan seorang akauntan bank yang di masa lapangnya menulis skrip untuk drama tv, seorang pelajar perubatan yang juga seorang sukarelawan Zoo di hujung minggu, atau seorang pembantu makmal yang mempunyai kedai kepunyaannya sendiri di Danau Kota. Mungkin aku boleh buat bisnes kecik? Mungkin aku boleh jual barangan seperti t-shirt hasil contengan aku? Mungkin ada yang berminat nak beli?

Itulah sebahagian kecil bucket list Fadhli Hamdan, apa ada di dalam list anda pula?

(Tahukah anda, ada serangga yang mempunyai kitaran hidup sependek 30 minit? 30 minit untuk celik, hidup, dan mati. Nak cari pensel nak buat bucket list pun belum tentu sempat. Jadi, bersyukurlah ye manusia.)